Tuesday 30 October 2012

PANTUN


Buah Durian buah berduri,
Mari kita makan bersama-sama,
Jika kita tercucuk duri,
Tentulah sakitnya itu terasa.

Doraemon dan Nobita sangat gembira,
Giant dan Sinyu sangatlah sombong,
Dengan kawan haruslah mesra,
Jika berkawan janganlah sombong.

Suasana di hari raya,
Banyak ampau di sana sini,
Kalau kita menjadi kaya,
Boleh beli apa saja yang diingini.

Turun merambat di petang Jumaat,
Berbekal nangka berbungkus sutera,
Jika kita mempunyai sahabat,
Bolehlah kita belajar bersama.

Gunung daik bercabang tiga,
Di tengah laut ada ikan,
Di telapak kaki ibu itu syurga,
Ibu menanggis jangan dibiarkan.

Anak kerbau terlanggar lori,
Ketika berjalan kakinya timpang,
Nasihat ayat saya ingati,
Ayah mengingati jangan dibantang.

Cuaca tenang dia sembunyi,
Ketika malam mencari rezeki,
Takbir raya sudah berbunyi,
Kita rayakan di aidilfitri.


Friday 19 October 2012

Tatabahasa : Penjodoh Bilangan



Nota 
1.   Penjodoh bilangan ialah kata yang digunakan bersama-sama dengan
      kata bilangan.
2.   Penjodoh bilangan digunakan untuk menentulkan sesuatu benda
      mengikut bentuk, rupa, saiz, dan sebagainya.
3.  Yang berikut ialah beberapa contoh penjodoh bilangan serta
     penggunaannya.

Penjodoh Bilangan
Penggunaan
baris
Untuk benda yang bersusun atau orang yang beratur seperti kedai, pokok, orang dan sebagainya
batang
Untuk benda yang panjang seperti kayu, pokok, sungai, pen, dan sebagainya
biji
Untuk benda yang kecil-kecil seperti telur, manik, buah-buahan, dan sebagainya
cucuk
Untuk benda-benda yang dicucuk seperti sate, buah-buahan, dan sebagainya
das
Untuk bunyi tembakan senapang atau meriam
ekor
Untuk haiwan sepeti kucing, monyet, lembu, dan sebagainya
gugus
Untuk pulau atau buah-buahan seperti anggur, rambutan, dan sebagainya
ikat
Untuk benda-benda yang diikat seperti kayau, buah-buahan, sayur-sayuran, dan sebagainya
jambak
Untuk benda yang dalam bentuk karangan atau berangkai-rangkai seperi bunga, anak kunci, buah-buahan, dan sebagainya
keping
Untuk benda yang nipis dan pipih seperti roti, papan, gambar, dan sebagainya
ketul
Untuk benda-benda yang berketul dan padu seperti batu, ais, arang, dan sebagainya
laras
Untuk senjata api seperti senapang, meriam, dan sebagainya
lembar
Untuk benda yang panjang dan halus seperti benang, tali, dan sebagainya
pasang
Untuk benda-benda yang berpasangan seperti baju, anting-anting, kasut, dan sebagainya
sikat
Untuk pisang
ulas
Untuk isi buah seperti durian, cempedak, nangka, dan sebagainya
utas
Untuk benda yang panjang dan dapat digulung seperti rantai, dawai, tali, dan sebagainya


Tip

Contoh Kesalahan Dalam Penggunaan Penjodoh Bilangan:

1.      (a) Setiap orang peserta dikehendaki mematuhi
                 peraturan  yang telah ditetapkan.  (salah)
           (b) Setiap peserta dikehendaki mematuhi
                peraturan  yang  telah ditetapkan. (betul) 
         
          Penjelasan :  Ada kalanya penjodoh bilangan tidak
          digunakan bersama-sama dengan kata bilangan.

     2.  (a)  Encik Ikmal telah memberikan sebuah pendapat
                yang bernas. (salah)
          (b)  Encik Ikmal telah memberikan pendapat yang
                bernas.  (betul)

         Penjelasan :  Penjodoh bilangan tidak diperlukan
         untuk menghitung kata nama abstrak.


     3.   (a)  Ayu memetik sejambak bunga lalu disematkan
                 di rambutnya. (salah)
(b)     Ayu memetik sekuntum bunga lalu disematkan di rambutnya. (betul)

           Penjelasan :  Penjodoh bilangan perlu digunakan
           bersesuaian dengan konteks ayat.


Sunday 14 October 2012

KATA GANTI NAMA DIRI


Tatabahasa : Kata Ganti Nama Diri

1. Kata ganti nama ialah kata yang menggantikan kata nama manusia.
2. Kata ganti nama boleh dibahagikan kepada dua golongan, iaitu:
  i. Kata ganti nama diri
  ii. Kata ganti nama tunjuk
3. Kata ganti nama diri terbahagi kepada:
  i. Kata ganti nama diri orang
  ii. Kata ganti nama diri tanya
4. Kata ganti nama diri orang terbahagi kepada:
  i. Kata ganti nama diri pertama
  ii. Kata ganti nama diri kedua
  iii. Kata ganti nama diri ketiga

5. Contoh:
  • Kata ganti nama diri pertama : aku, saya, hamba, patik, beta, kami, kita, daku
  • Kata ganti nama diri kedua :  awak, engkau, anda, tuanku, kalian, kamu
  • Kata ganti nama diri ketiga :   dia, beliau, ia, baginda, mereka
6. Kata ganti nama tunjuk ialah kata yang digunkan untuk menunjukkan manusia, haiwan, benda dan tempat.
  Contoh:  ini, itu

7. Kata ganti nama diri tanya ialah kata yang merujuk benda atau orang dalam bentuk tanya.
  Contoh:  apa, siapa, mana


Tip

 Contoh Kesalahan Dalam Penggunaan Kata Ganti Nama:

1.   (a)  Banduan itu dikawal ketat oleh pihak penjara. Beliau terlibat dalam banyak kejadian jenayah. (salah)

      (b). Banduan itu dikawal ketat oleh pihak penjara. Dia terlibat dalam banyak kejadian jenayah. (betul)

Penjelasan :
Kata ganti nama diri perlu disesuaikan dengan kedudukan seseorang. Kata ganti nama beliau digunakan untuk orang yang dihormati.

2.   (a)  “Kalian-kalian mesti bekerjasama dari sekarang,” kata Tuk Ali kepada anak-anak buahnya. (salah)

       (b). “Kalian mesti bekerjasama dari sekarang,” kata Tuk Ali kepada anak-anak buahnya.   (betul)

 Penjelasan :Kata ganti nama diri bentuk jamak tidak perlu digandakan.

3.   (a)   Tompok sangat manja. Ia suka menggesel-geselkan bulunya pada kaki  saya. (salah)

      (b)  Tompok sangat manja. Tompok suka menggesel-geselkan bulunya pada kaki  saya. (betul)

Penjelasan :
Kata ganti nama diri tidak boleh digunakan untuk binatang dan benda.


SUMBER: http://www.tutor.com.my

Saturday 13 October 2012

KATA TUNGGAL


Kata Tunggal

Bentuk kata tunggal ialah bentuk kata yang berdiri sendiri tanpa menerima sebarang imbuhan atau tidak mengalami proses penggandaan dan pemajmukan.
Menurut Tatabahasa Dewan, terdapat sekurang-kurangnya dua jenis kata tunggal, iaitu kata tunggal yang mengandungi hanya satu suku kata dan kata tunggal yang mengandungi dua suku kata atau lebih. Jika dilihat dari segi penyukuan kata, perkataan boleh mengandungi satu suku kata atau beberapa suku kata.
Sesuatu suku kata boleh terdiri daripada satu vokal (V) sahaja, satu vokal disertai satu konsonan (K), atau satu vokal dengan beberapa konsonan. Konsonan-konsonan itu hadir di hadapan atau di belakang vokal atau serentak dihadapan dan di belakang. Ada konsonan yang boleh hadir secara bergugus (KK).
Dalam bahasa Melayu, proses pembentukan kata tunggal boleh dilihat melalui pola vokal dan konsonan dalam sesuatu kata. Pembentukan kata tunggal terhasil melalui gabungan vokal dan konsonan yang akan dijelaskan seperti berikut:


(a) Kata Tunggal Satu Suku Kata

Berdasarkan penelitian terhadap Kamus Dewan Edisi Ketiga (1996), jumlah keseluruhan kata tunggal dengan satu suku kata dalam bahasa Melayu sangat terhad, iaitu antara 500-1000 kata sahaja. Kebanyakan perkataan tersebut merupakan kata pinjaman daripada bahasa-bahasa asing, terutamanya bahasa Arab, bahasa Inggeris, dan bahasa Jawa.
Pola pembentukan kata tunggal bahasa Melayu dengan satu suku kata adalah seperti berikut:

1. KV (ya, yu)
2. VK (am)
3. KVK (tin, sen)
4. KKVK (gred, graf)
5. KVKK (golf, bank)
6. KKKV (skru)
7. KKKVK (skrip)

(b) Kata Tunggal Dua Suku Kata

Terdapat banyak perkataan bahasa Melayu yang terdiri daripada dua suku kata. Antara pola-pola kata tunggal dengan suku kata adalah seperti yang berikut:

1. V + KV (ini, apa)
2. V + VK (air, aur)
3. V + KVK (alas, ulat)
4. VK + KV (asli, anda)
5. VK + KVK (indah, umbut)
6. KV + V (dia, doa)
7. KV + VK (luas, laut)
8. KV + KV (bata, kata)
9. KV + KVK (kapak, telus)
10. KVK + KV (bantu, serta)
11. KVK + KVK (jemput, sandar)

c) Kata Tunggal Tiga Suku Kata

Dibandingkan dengan kata tunggal dua suku kata, jumlah kata tunggal dengan tiga suku kata agak kecil. Namun demikian pola-pola susunan konsonan-vokalnya agak banyak. Jika diperhatikan perkataan-perkataan tiga suku kata ini banyak daripadanya ialah kata-kata pinjaman (Nik Safiah Karim et al. 2009). Antara pola-polanya:

1. KV + V + KV (suara, tiada)
2. KV + V + KVK (kaedah, ziarah)
3. V + KV + V (idea, asia)
4. KV + KV + V (peria, petai)
5. KVK + KV + V (pantai, santai)
6. KV + KV + VK (keluar, seluar)
7. KVK + KV + VK (berlian, tempias)
8. V + KV + KV (usaha, azali)
9. V + KV + KVK (alamat, akibat)
10. VK + KV + KV (asmara, antara)
11. KV + KV + KV (budaya, sutera)
12. KVK + KV + KV (kembara, misteri)
13. VK + KV + VK (ilmiah, ikhtiar)
14. V + KV + VK (akaun, amaun)
15. KV + KV + KVK (selaput, kelawar)
16. KVK + KV + KVK (mahkamah, sembilan)
17. KV + KVK + KV (terumbu, kelambu)
18. KVK + KVK + KV (sempurna)
19. KV + KVK + KVK (kelompok, pelantar)

(d) Kata Tunggal Empat Suku Kata dan Lebih

Terdapat sebilangan kecil kata tunggal yang terdiri daripada empat suku kata dan lebih. Kebanyakan perkataan ini ialah kata pinjaman. Antara contoh-contohnya:

1. KVK + KV + VK + KV (biduanda, keluarga)
2. KV + KVK + KV + KV (bijaksana, peristiwa)
3. KVK + KV + KV + KV (bendahari, sandiwara)
4. KVK + KV + V + KV (sentiasa)
5. KV + KV + KV + KV (samudera, selesema)
6. KV + KV + KV + KVK (muzakarah, kapitalis)
7. KVK + KV + KV + KVK (sentimeter)
8. KVK + KVK + KV + KV (dispensari, singgahsana)
9. KV + KV + V + KVK (mesyuarat, nasional)
10. V + KV + KVK + KV + KV (universiti)
11. KVK + KV + KV + KV + KVK (kosmopolitan)
12. KV + KV + KV + KV + KV + KV (maharajalela)

Thursday 11 October 2012

MARI MEMBACA






SALAM ILMU PEMBUKA MINDA



Sepatah kata diungkap sebagai pembuka bicara. Saya berbesar hati dapat menghasilkan sebuah blog pendidikan yang kelak dapat menyebarkan ilmu pengetahuan yang berguna untuk semua. Pelbagai kamus terdapat di dunia, tetapi Kamus Minda yang saya wujudkan ini amat berbeza dengan kamus yang ada di serata dunia. Kamus Minda ini akan memaparkan pelbagai ilmu pengetahuan berkaitan matapelajaran Bahasa Melayu sekolah rendah. Diharapkan segala garapan ilmu yang dicurahkan disini memberi manfaat kepada semua dan segala sokongan anda amatlah saya hargai. Sekian terima kasih