Saturday 13 October 2012

KATA TUNGGAL


Kata Tunggal

Bentuk kata tunggal ialah bentuk kata yang berdiri sendiri tanpa menerima sebarang imbuhan atau tidak mengalami proses penggandaan dan pemajmukan.
Menurut Tatabahasa Dewan, terdapat sekurang-kurangnya dua jenis kata tunggal, iaitu kata tunggal yang mengandungi hanya satu suku kata dan kata tunggal yang mengandungi dua suku kata atau lebih. Jika dilihat dari segi penyukuan kata, perkataan boleh mengandungi satu suku kata atau beberapa suku kata.
Sesuatu suku kata boleh terdiri daripada satu vokal (V) sahaja, satu vokal disertai satu konsonan (K), atau satu vokal dengan beberapa konsonan. Konsonan-konsonan itu hadir di hadapan atau di belakang vokal atau serentak dihadapan dan di belakang. Ada konsonan yang boleh hadir secara bergugus (KK).
Dalam bahasa Melayu, proses pembentukan kata tunggal boleh dilihat melalui pola vokal dan konsonan dalam sesuatu kata. Pembentukan kata tunggal terhasil melalui gabungan vokal dan konsonan yang akan dijelaskan seperti berikut:


(a) Kata Tunggal Satu Suku Kata

Berdasarkan penelitian terhadap Kamus Dewan Edisi Ketiga (1996), jumlah keseluruhan kata tunggal dengan satu suku kata dalam bahasa Melayu sangat terhad, iaitu antara 500-1000 kata sahaja. Kebanyakan perkataan tersebut merupakan kata pinjaman daripada bahasa-bahasa asing, terutamanya bahasa Arab, bahasa Inggeris, dan bahasa Jawa.
Pola pembentukan kata tunggal bahasa Melayu dengan satu suku kata adalah seperti berikut:

1. KV (ya, yu)
2. VK (am)
3. KVK (tin, sen)
4. KKVK (gred, graf)
5. KVKK (golf, bank)
6. KKKV (skru)
7. KKKVK (skrip)

(b) Kata Tunggal Dua Suku Kata

Terdapat banyak perkataan bahasa Melayu yang terdiri daripada dua suku kata. Antara pola-pola kata tunggal dengan suku kata adalah seperti yang berikut:

1. V + KV (ini, apa)
2. V + VK (air, aur)
3. V + KVK (alas, ulat)
4. VK + KV (asli, anda)
5. VK + KVK (indah, umbut)
6. KV + V (dia, doa)
7. KV + VK (luas, laut)
8. KV + KV (bata, kata)
9. KV + KVK (kapak, telus)
10. KVK + KV (bantu, serta)
11. KVK + KVK (jemput, sandar)

c) Kata Tunggal Tiga Suku Kata

Dibandingkan dengan kata tunggal dua suku kata, jumlah kata tunggal dengan tiga suku kata agak kecil. Namun demikian pola-pola susunan konsonan-vokalnya agak banyak. Jika diperhatikan perkataan-perkataan tiga suku kata ini banyak daripadanya ialah kata-kata pinjaman (Nik Safiah Karim et al. 2009). Antara pola-polanya:

1. KV + V + KV (suara, tiada)
2. KV + V + KVK (kaedah, ziarah)
3. V + KV + V (idea, asia)
4. KV + KV + V (peria, petai)
5. KVK + KV + V (pantai, santai)
6. KV + KV + VK (keluar, seluar)
7. KVK + KV + VK (berlian, tempias)
8. V + KV + KV (usaha, azali)
9. V + KV + KVK (alamat, akibat)
10. VK + KV + KV (asmara, antara)
11. KV + KV + KV (budaya, sutera)
12. KVK + KV + KV (kembara, misteri)
13. VK + KV + VK (ilmiah, ikhtiar)
14. V + KV + VK (akaun, amaun)
15. KV + KV + KVK (selaput, kelawar)
16. KVK + KV + KVK (mahkamah, sembilan)
17. KV + KVK + KV (terumbu, kelambu)
18. KVK + KVK + KV (sempurna)
19. KV + KVK + KVK (kelompok, pelantar)

(d) Kata Tunggal Empat Suku Kata dan Lebih

Terdapat sebilangan kecil kata tunggal yang terdiri daripada empat suku kata dan lebih. Kebanyakan perkataan ini ialah kata pinjaman. Antara contoh-contohnya:

1. KVK + KV + VK + KV (biduanda, keluarga)
2. KV + KVK + KV + KV (bijaksana, peristiwa)
3. KVK + KV + KV + KV (bendahari, sandiwara)
4. KVK + KV + V + KV (sentiasa)
5. KV + KV + KV + KV (samudera, selesema)
6. KV + KV + KV + KVK (muzakarah, kapitalis)
7. KVK + KV + KV + KVK (sentimeter)
8. KVK + KVK + KV + KV (dispensari, singgahsana)
9. KV + KV + V + KVK (mesyuarat, nasional)
10. V + KV + KVK + KV + KV (universiti)
11. KVK + KV + KV + KV + KVK (kosmopolitan)
12. KV + KV + KV + KV + KV + KV (maharajalela)

No comments:

Post a Comment